- Maksiat ------ Cegah
- Miskin ------- Tolong
- Sakit --------- Ziarah
- Lalai --------- Dakwah
- Lemah ------- Bantu
- Yatim -------- Urus
- Jahil --------- Ajar
- Jahat -------- Hukum
- Minta -------- Beri
Apabila kita melihat berlakunya maksiat dalam masyarakat; Maka cegahlah dengan perbuatan, jika tidak mampu cegahlah dengan lisan dan jika tidak mampu juga cegahlah dalam hatimu (bencilah dengan maksiat yang berlaku - itulah selemah-lemah iman).
Hulurkanlah pertolongan kita buat golongan masyarakat yang berada dalam kemiskinan dalam apa jua bentuk sumbangan sekalipun; perhatian, tenaga, masa, kewangan, kebendaan dan sebagainya.
Ziarahilah mereka yang sakit. Mereka juga perlukan perhatian serta doa dari kita. Moga dengan kedatangan kita mungkin dapat menghiburkan hati mereka.
Ada dikalangan anggota masyarakat yang berada dalam kelalaian, inilah fungsi kita untuk berda’wah kepada mereka. Anggota masyarakat yang paling dekat dengan kita adalah orang-orang yang kita sayangi iaitu anggota keluarga dan juga rakan-rakan kita. Berda’wahlah pada mereka.
Hulurkanlah bantuan buat mereka yang lemah dalam apa jua keadaan pun.
Urusilah anak-anak yatim dengan adil dan penuh kasih sayang. Apabila telah sampai peringkat umur tertentu, kembalikanlah hak mereka yang telah diamanahkan pada kita tanpa mengurangi sedikitpun hak-hak mereka. Ingatlah Rasulullah s.a.w sangat menyantuni anak-anak yatim dan baginda juga adalah anak yatim.
Berikanlah tunjuk ajar kita pada golongan yang jahil. Janganlah dihukum, dicaci mahupun dihina golongan ini kerana mereka sebenarnya sangat memerlukan tunjuk ajar kita. Mana mungkin mereka memahami andai kita berterusan menyalahi kesalahan yang mereka lakukan disebabkan kejahilan mereka. Bagaimana kita mengetahui mereka ini jahil? Dekatilah mereka dalam erti kata taaruflah mereka. Moga dengan tunjuk ajar kita menjadikan mereka sebagai orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Titik permulaan untuk mengajar atau mendidik mereka yang jahil, mulakanlah dengan solat.
Bagi mereka yang jahat, hukumlah mereka setimpal dengan kejahatan yang telah mereka lakukan. Semoga mereka menginsafi dan bertaubat atas kejahatan yang telah mereka lakukan. Jika mereka insaf dan telah bertaubat, perlakulah mereka dengan adil; jangan dicaci mahupun dihina ataupun diungkit-ungkit kejahatan mereka kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Mungkin setelah itu mereka menjadi lebih baik daripada kita.
Berilah pada mereka yang meminta. Rujuklah pada sirah Baginda Rasulullah s.a.w, bagaimana baginda menyantuni seorang badwi yang merentap kain yang dililit dileher baginda sehingga berbekas kerana dia berkehendakkan sesuatu dari baginda. Betapa indahnya sifat baginda s.a.w.
No comments:
Post a Comment