Sunday, March 20, 2011

Bertampoknya AJARAN SESAT..disini..

Cam biasa la aku.. kerat dan tampal isu2 yang aku jumper sewaktu belayar di ALAM MAYA...dah lama tak menambah bahan2 ilmu diluar jangkaan..Ni Fakta dan Keterangan Medium kepada anda khusus yang ingin tahu mengenai AJARAN SESAT .. di malaysia.

Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di Malaysia bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk diantara benar dan yang salah.

Yang paling rumit dan kritikal sekali ialah didalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain. Namun begitu masalah perselisihan pendapat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor berikut:-

i. Orang yang memperkatakan tentang ajaran itu mempunyai sikap dan niat tertentu.

ii. Mereka yang cuba menilai ajaran tidak mengetahui betul-betul ajaran berkenaan.

iii. Aliran atau ajaran dari kumpulan berkenaan mempunyai cara-cara pengajarannya mengikut peringkat-peringkat tertentu seperti pada peringkat awal menonjolkan kebenaran tetapi akhirnya mengandungi ajaran dan kepercayaan yang mengelirukan bahkan mempunyaim unsur yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

iv. Ajaran-ajaran berkenaan kebanyakannya tidak di sebarkan secara terbuka. Oleh itu tidak dapat dibincang dan dinilai oleh umum secara terus atau terperinci.


Akidah Islam adalah berpusat kepada kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Rasul- rasul, Kitab,Qada’dan Qadar, dan percaya kepada hari akhirat.

Sehingga kini hampir setiap buah negeri di Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh agama tempatan.

Ajaran sesat bukanlah suatu perkara baru bagi kita, malah kemunculannya dinegara ini adalah merupakan adunan dari pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisma serta daya rekacipta kuno yang tidak berlandaskan Syariat Islam.

Walaubagaimanapun kemunculan ajaran sesat ini diambil perhatian berat setelah berlaku peristiwa yang menumpahkan darah iaitu penyerangan kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan “Tarikat Nurul Zaman” keatas balai polis Batu Pahat Johor pada hari Khamis 16hb Oktober, 1980 yang telah meragut 6 orang dari kumpulan penyerang dan mencederakan 23 orang awam.

TAKRIF AJARAN SESAT

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang di bawa oleh orang-orang Islam ataubukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ciri-ciri ajaran sesat yang didapati dalam ajaran-ajaran sesat di Malaysia adalah seperti berikut.:-

i. Mengaku dirinya sebagai Nabi dan mendakwa menerima wahyu

ii. Mempercayai ada Nabi-nabi lain selepas Nabi Muhammad.

iii. Mempercayai wahyu masih lagi turunselepas wafatnya Rasulullah saw.

iv. Mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya.

v. Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula kedalam jasad orang yang masih hidup.

vi. Mendakwa pengikut-pengikut ajarannya sahaja akan masuk syurga.

vii. Mendakwa gurunya memegang pintu syurga.

viii. Mempercayai gurunya boleh menebus dosa dengan wang.

ix. Mendakwa bahawa semua agama adalah sama

x. Mempercayai bahawa orang yang telah matiboleh memberi pertolongan kepada orang yang menyeru namanya.

xi. Memohon kepada benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada tuhan.

xii. Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batindengan tujuan mendapatkan anak yang soleh.

xiii. Mengaku Allah menjelma dalam dirinya.

xiv. Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.

xv. Mendakwa ajaran dan Tarikatnya yang diamal sekarang diambil terus dari Rasulullah saw secara jaga.

xvi. Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada didalam dirinya dan dengan demikian didakwa pasti masuk syurga.

xvii. Memansukhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru.

xviii. Meninggalkan sembahyang jemaah kerana mengamalkan Suluk.

xix. Mendakwa bahawa Ibadat Haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah, tetapi boleh ditunaikan ditempat-tempat lain.

xx. Mengubah dengan sengaja ayat Al-Quran dan maksudnya.

xxi. Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya ada batinnya.


BENTUK-BENTUK AJARAN SESAT

Bentuk ajaran sesat yang terdapat di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga bentuk:-

i. Bentuk Ajaran Baru.

Ajaran bentuk tarikat ini biasanya menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Crypto, oleh Mokhtar Hassan di Kluang Selangor, Ajaran Ilmu Hakikat oleh Jahar @ Jara

b. Dumin.

ii. Bentuk Tarikat.

Ajaran bentuk Tarikat ini biasanya menggunakan nama-nama Tarikat yang masyhur. Melalui bentuk ini guru-gurunya menggunakan cara-cara yang berbeza dengan yang asal atau diubah suai. Ada juga Tarikat itu diciptakan sendiri oleh pengasasnya seperti Tarikat Zikrullah oleh Hasan Anak Rimau / Ayah Pin di Kelantan, Tarikat Khalid dan lain-lain.

iii. Bentuk Kepercayaan dan Amalan Tradisi.

Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap Wali kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang, bomoh, atau pembawa ilmu tertentu samaada melalui menurun dan sebagainya. Semua bentuk ajaran ini adalah jelas membawa penyelewengan dari segi akidah yang boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.

CIRI-CIRI AJARAN DAN AMALAN YANG SESAT

Bagi menentukan sesuatu ajaran dan amalan itu sesat ia didasarkan kepada:-

I. Menyentuh akidah: Sekiranya terdapat apa-apa pegangan, keyakinan kepercayaan yangbertentangan dengan akidah Islam adalah dikira sesat.

Contoh: Pengakuan Menjadi Nabi Dan Rasul

Dalam sesuatu ajaran itu apabila didapati samaada pengakuan dari guru atau pengakuan dari murid atau pengikutnya yang beranggapan bahawa gurunya adalah Nabi dan Rasul atau wakil Nabi atau Rasul secara langsung, maka pengakuan itu adalah sesat dan tidak benar.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Tetapi ia adalah Rasulullah dan kesudahan segala Nabi-Nabi

II. Menyentuh amalan: Sekiranya terdapat apa-apa amalan, perlakuan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam adalah dikira amalan sesat.

Contoh: Memansuhkan beberapa rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji sebagaimanayang telah dinyatakan. Rukun-rukun tersebut dikatakan zahir dan batinnya.

Lalu mereka katakan bahawa sekiranya sudah tahu ibadat-ibadat tersebut dari segi batinnya maka tidak perlu lagi mengerjakannya secara zahir, kerana amalan zahir itu adalah kulit sahaja. Bagi orang yang sudah menikmati isinya, maka tidak berhajat lagi padfa menjaga kulitnya, ataupun cukup dengan menyebut perkataan alhamdu sahaja kerana perkataan itu sudah merangkumi sembahyang Subuh, Zohor, Asar Maghrib dan Isyak.

Ada juga menolak kewajipan sembahyang Jumaat, dengan alasan:-

a) Mereka sembahyang dengan cara ghaib iaitu dengan para Wali Allah.

b) Kononnya mereka tidak sembahyang disini, tetapi sembahyang di mekah.

c) Kononnya dia sudah mempunyai taraf yang tinggi maka tidak layak lagi berimamkan orang-orang awam yang tidak setaraf dengannya dalam sembahyang.


FAKTOR LAHIRNYA AJARAN SESAT

Jika dikaji masyarakat Islam dinegara ini dapat dikatakan bahawa punca yang membawa kepada lahirnya berbagai jenis ajaran dan amalan sesat pada umumnya adalah berpunca dari dua faktor utama:-

1. Faktor Dalaman ( Internal Factors )

2. Faktor Luar ( External Factors )


Faktor Dalaman

Pada kebiasaannya jenis ajaran seumpama ini telah bertapak dan tersebar secara sulit dan tersembunyi didaerah-daerah pedalaman di negara ini. Golongan yang mempelopori ajaran dan amalan ini adalah terdiri dari tokoh-tokoh tempatan yang terpengaruh dan sangat disegani oleh masyarakat sekitar.

Golongan ini mempunyai beberapa kebolehan dan keistimewaan yang luar biasa yang dipergunakan sebagai sakti dan daya tarikan utama untuk mempengaruhi masyarakat umum. Orang-orang biasa tidak mengetahui secara mendalam bagaimana bentuk ajaran atau amalan ilmu-ilmu ini, kerana ianya diperkembangkan secara sulit dan rahsia.

Oleh kerana itu setiap pengikut ilmu-ilmu ini dikehendaki mengikat perjanjian dengan gurunya bahawa ilmu ini tidak boleh diberitahu oleh orang lain. Sebaliknya mestilah dirahsiakan. Jika diberitahu juga kononnya ilmu ini tidak mujarab atau tidak menjadi lagi.

Untuk menguatkan lagi perjanjian tadi, maka setiap pengikutnya dikehendaki mengangkat sumpah dengan menyebutkan nama Allah, menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan mengangkat al-Quran sebagai saksi.


Faktor luaran.

Masyarakat Islam di negara ini adalah merupakan masyarakat yang terbuka. Dengan hal demikian berbagai pengaruh luar begitu senang sekali mempengaruhi keadaan sekitar masyarakat Islam.

Guru-guru yang menganjurkan sesuatu ilmu atau amalan ini selain dari anak tempatan adalah juga datang dari luar negeri. Mereka ini menggelarkan diri mereka sebagai tokoh-tokoh agama serta mempunyai ciri-ciri personaliti yang agak berbeza dengan orang awam, samaada disegi rupa paras, bentuk pakaian dan tingkah laku.

Bagi penganjur ilmu kebatinan yang berunsurkan seni mempertahankan diri, seringkali golongan ini mengambil kesempatan dengan melantik pemimpin-pemimpin tertentu sebagai khalifah atau Mahaguru. Oleh kerana itu manifesto ilmu yang dikembangkan itu disesuaikan dengan kehendak masa dan suasana.

Kebanyakan pengikut-pengikut yang terlibat dengan ajaran sesat dan ilmu kebatinan ini adalah terdiri dari golongan yang tidak mempunyai asas yang kuat didalam aspek akidah islam, disamping tidak mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam mengenai ajaran Islam yang sebenarnya.

CIRI –CIRI ASAS PENGANUT AJARAN SESAT.

i. Mencaci Alim Ulama dan Fuqaha Islam

Penganut ajaran sesat selalunya mencaci dan menjatuhkan maruah para Alim Ulama dan Fuqaha’ Islam iaitu dengan melemparkan tuduhan kepada para Alim Ulama dan Fuqaha Islam bahawa mereka telah menyembunyikan ajaran Islam sebenar demi kepentingan periuk nasi mereka, penipu, tamak haloba.

Tujuan mereka melemparkan cacian keatas para Alim UlamadanFuqaha’ Islam, ialah supaya alim ulama’ dan fuqaha’ islam itu dipandang hina oleh masyarakat, dengan cara ini juga mereka mengharapkan hilang dan merosotnya pengaruh Alim Ulama’dan Fuqaha’Islam itu merosot, maka mudahlah bagi mereka untuk memasukan ajaran sesat kepada orang ramai.

ii. Mengatakan Syariat Islam itu ada Zahir dan Batin :

Dalam hal-hal yang bersangkutan dengan syariat Islam seperti Al-Quran , Syahadah, Kenabian, sembahyang, puasa, haji, nikah kahwin, bersuci dan lain-lainnya mereka mengatakan ada zahir danada batin atau digunakan istilah zahir syariat dan Hakikat.

Alim Ulama’ dan Fuqaha’ Islam yang ada sekarang ini hanyalah mengetahui zahir syariat atau kulit sahaja dan mereka tidak mengetahui Ilmu Hakikat dan Ilmu Isi. Kumpulan ajaran sesat ini biasanya mendakwa kalangan merekalah yang mempelajari dan mengetahui Ilmu Hakikat dan Ilmu Isi. Manakala mereka yang sudah mendapat isi dengan sendirinya kulit tidak perlu lagi, manakala mereka yang sudah mendapat isi dengan sendirinya kulit tidak perlu lagi, manakala mereka yang sudah sampai kepada ilmu hakikat maka dengan sendirinya zahir syariat tidak perlu lagi.

iii. Penganut ajaran sesat adalah merupakan golongan munafik dalam masyarakat Islam:

Berikutan dengan kefahaman mengenai syariat Zahir sebagai kulit dan hakikat sebagai isi, maka penganut ajaran sesat ini menolak segala zahir syariat Islam, kalaupun dikerjakan apa-apa Syariat Zahir ini sebagai menjaga adat dan peraturan didunia sahaja. Seperti nikah kahwin dihadapan Kadhi, dua orang saksi, maskahwin, ijab qabul semua itu kulit sahaja.

iv. Gerakan Mereka adalah Rahsia

Aktiviti yang dijalankan adalah rahsia dan hanya untuk ahli sahaja dan disyaratkan baiah” serta bersumpah menyimpan rahsia. Setelah pengakuan murid sanggup menyimpan rahsia maka barulah di buka rahsia ilmu hakikat @ ilmu isi yang mereka maksudkan itu. Biasanya mereka menentukan masa yang tertentu untuk belajar dan mengajar mengenai ilmu hakikat @ ilmu isi yang dimaksudkan itu dan mendakwa orang yang mem pelajari dan mengamalkan ilmunya itu akan beroleh apa yang dihajati dan terbukalah segala rahsia dan tersingkaplah Hijab mereka dengan Allah S.W.T.

CARA-CARA PERKEMBANGAN AJARAN SESAT.

I. Melalui Ajaran:

Penyusupan ajaran sesat melalui cara tersebut adalah lahir dari guru-guru yang membawa sesuatu ajaran dengan tujuan mencari pengaruh dan kepentingan diri dengan mengemukakan ajaran dan amalan yang didakwa beramal dengan ajaran beliau kononnyaakan mendapat sesuatu yang Ghaibseperti Kasyaf dan Laduni iaitu mengetahui alam ghaib dan mendapat limpahan ilmu Allah dan Tajalliiaitu penjelmaan hakikat zat, sifat, dan Af’alAllah kepadanya. Kemudian disogokkan pula kepada murid-murid dengan beberapa keistimewaan kononnya akan mudahmendapat ketinggian darjat, pangkat, damn kebesaran serta disanjung tinggi dan mulia oleh orang ramai.

II. Melalui Tarikat.

Melalui cara Tarikat ini selalunya menggunakan nama Tarikat yang masyhur seperti Naqsyabandiah, Mufarridiyah, Syazaliyah, Ahmadiah dan lain-lain lagi dengan ditokok tambah oleh gurunya mengikut kesesuaian tempatan dan kepentingan dirinya yang mendakwqa sebagai “ Guru Mursyid” yang mendapat tauliah dari guru asalnya serta boleh mentauliahkan orang lain.

III. Melalui Kepercayaan dan Amalan Tradisi.

Cara ini adalah merupakan cara biasa dan mudah diterima oleh masyarakat melayu Islam dinegara ini kerana ianya bersifat kepercayaan terhadap kuasa sakti, jin, jembalang, dan penunggu tersebut supaya mereka tidak mengganggu penduduk disesuatu tempat itu, maka dilakukan upacara pemujaan.

Ada juga yang melakukan pemujaan keatas roh, para Wali dan Keramat, iaitu menziarahi kubur orang yang dianggap Wali dan Keramat serta melakukan upacara tradisional, seperti melepaskan ayam putih, pulut kuning, bertih dan penyembelihan binatang ternakan keatas kubur itu serta menyeru roh para Wali dan Keramat itu agar dapat memberi pertolongan kepada mereka bagi menyampaikan apa-apa hajat mereka dan apakala beroleh kejayaan, mereka akan membayar nazar diatas kubur orang yang dianggap Wali dan Keramat atau mereka membayar nazar ditempat yang menjadi pujaan mereka.

Terdapat juga mereka yang melakukan pertapaan iaitu dengan menyembunyikan diri ditempat yang sunyi seperti di bukit, atau gunung atau gua tertentu dengan tujuan untuk mendapat ilmu Ghaib, Sakti, gagah perkasa, kebal dan lain-lain bagi tujuan kehebatan diri dan kepentingan diri serta untuk mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat.

CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT DI MALAYSIA.

1. Ajaran Empat Sahabat ( Kota Bharu pada tahun 1974)

2. Ajaran Cerang melilin ( Terengganu pada tahun 1976 )

3. Ajaran Husin Ali ( Kuala Terengganu pada tahun 1976 )

4. Ajaran Crypto ( Kluang Selangor pada tahun 1978 )

5. Tarikat Aurad Islamiah( Kedah pada tahun 1979 )

6. Tarikat Zikrullah( Hasan Anak Rimau / Ayah Pin, Kota Bharu.1983 )

7. Ajaran Haji Mohd Yamin Ab. Rahman ( Kota Bharu Pada tahun 1990 )

8. Ajaran Tok Ayah Selamat ( Kota Bharu pada tahun 1989 )

9. Al- Arqam. ( Seluruh negeri 1988 )

10. Golongan Anti Hadis ( wilayah Persekutuan !992 )

Bukan sedikit ajaran sesat yang tumbuh dikalangan masyarakat Islam. Di negara ini sahaja terdapat 46 jenis ajaran yang telah dikenalpasti sesat. Namun begitu terdapat banyak lagi yang bercambah disana sini yang sukar diselidiki secara dekat kerana kekurangan matlumat yang lengkap. Di sini diberi dua contoh ajaran sesat yang besar dinegara ini:-

1. Al-Arqam.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari Muhammad. Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dikalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara ini. Ajaran-ajaran Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang dikelirukan dan menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul. Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakyah melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Penyelewengan akidah Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan fahaman seperti berikut:

i. Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah saw dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah saw didalam Ka’abah.

ii. Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, tetapi ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Al-Mahdi.

iii. Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah saw dan meletakkan setaraf dengan Khulafa’ Al-Rasyidin.

iv. Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang kononnya untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya.

v. Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya.

vi. Ashaari Muhammad dipercayai, kononnya selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman dan Sayyidul-Mujaddidin.

vii. Penggunaan Gambar Ashaari secara meluas dikalangan pengikut kerana di percayai akan membawa Barakah dan mempunyai Karamahnya.

viii. Ashaari mendakwa dirinya dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad saw yang memegang panji-panji Al-Mahdi.

2. Golongan Anti Hadis.

Di Malaysia golongan anti Hadis telah dapat dikesan sekitar tahun 1984. ini diperkuatkan lagi dengan terbitnya buku Kasim Ahmad, Hadis: Satu Penilaian Semula. Kasim Ahmad mempelopori kumpulan ini kerana dipercayai terpengaruh dengan sebuah buku Dr. Rashad Khalif, bertajuk The Computer Speaks: God’s Message To The World, yang diterbitkan oleh Syarikat Renaissance Production International; Amerika pada tahun 1981.

Pendekatan Kasim Ahmad mengenai teori Anti Hadis banyak terpengaruh dengan pendekatan yang digunakan oleh Dr. Rashad Khalifa. Beliau telah mempersoalkan autoriti Hadis dan memberi beberapa gambaran yang mengelirukan mengenainya. Malah beliau menuduh bahawa hadis adalah ajaran-ajaran palsu dan rekaan semata-mata serta sekaligus beliau menolak kewibawaan ulamak-ulamak hadis. Beliau berpendapat Hadis dan Sunnahlah yang menjadi salah satu penyebab punca kekeliruan dan perpecahan terbesar dikalangan umat Islam selama lebih seribu tahun.

Dengan tersiarnya akhbar dan terbitnya buku Kasim Ahmad mengenai pandangan beliau tentang Hadis, suasana masyarakat Islam amnya kurang menyenangkan. Lantaran itu pihak Kerajaan telah mengambil satu ketetapan mengharamkan buku tersebut dari pengedarannya.

PENUTUP.

Pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat di dalam masyarakat Islam dinegara ini, bukan sahaja boleh menyebabkan Akidah umat Islam menyeleweng dari tuntutan Allah, bahkan ianya juga adalah sebahagian dari unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam sendiri. Akan timbul dalam masyarakat Islam beberapa kumpulan yang mengamalkan beberapa kumpulan yang mengamalkan beberapa jenis ilmu yang berbeza dari segi nama tetapi mempunyai motif yang hampir-hampir sama.

Masing-masing kumpulan akan berusaha mencari pengikut seberapa banyak yang mungkin; Implikasi dari keadaan seumpama ini akan membawa kepada lenyapnya perasaan persaudaraan sesama Islam yang sangat-sangat dititikberatkan oleh Allah sebagai senjata kekuatan dan keutuhan umat Islam.

Dan yang lebih membimbangkan lagi sepertimana yang dibayangkan oleh Rasulullah bahawa di suatu masa kelak umatnya akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak.

Sabda Rasulullah saw.

Ertinya:

“ Akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga puak, kesemuanya didalam neraka kecuali satu sahaja, iaitu puak yang mengikut sunnahku dan sunnah sahabat-sahabatku”

Umat-umat Islam benar-benar beriman dengan Allah haruslah memahami bahawa sesungguhnya tidak ada ilmu kebal dalam Islam, kerana Rasulullah telah menyatakan bahawa Mukmin yang kuat ialah mukmin yang mempunyai kekuatan iman yang lahir dari peningkatan ketakwaan kepada Allah. Bukti bahawa tidak ada kekebalan dalam islam ialah Rasulullah sendiri telah cedera parah dalam peperanganUhud. Jika ada kekebalan dalam islam sudah tentu Rasulullahdan para sahabat tidak akan cedera dalam peperangan.

Oleh itu untuk mengatasi dan membasmi segala ajaran atau amalan sesatyang terdapat didalam masyarakat Islammaka setiap umat Islam haruslah bertanggungjawab serta mengkaji sesuatu ajaran atau amalan itu secara terperinci dengan berlandaskan kepada ajaran Islam yang maha suci sebelum menyertai sesuatu ajaran, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran kekuasaan Allah tetap terpelihara dan juga dapat mengelakkan umat-umat islam dinegara ini daripada terpedaya dan terperangkap dengan golongan-golongan yang mencari pengaruh disebalik tabir Islam.

RUJUKAN.

Abdulfatah Haron Ibrahim, Ajaran sesat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerianpendidikan Malaysia Kuala Lumpur, 1993.

Ajaran Sesat, Satu Ancaman Terhadap Keselamatan Negara, Kor Agama AngkatanTentera, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur, 1995.

Suara Persatuan Ulama’ Malaysia, Bil, 31 ( thn 3 ) Jamadilawal 1413h ( November 1992) muka surat 11-22

No comments:

Post a Comment